Hong Kong dan Makau Satu_negara,_dua_sistem

Pada tahun 1984, Deng Xiaoping mencadangkan agar menggunakan prinsip ini pada Hong Kong dalam rundingan dengan Perdana Menteri United Kingdom, Margaret Thatcher mengenai masa hadapan Hong Kong apabila pajakan Wilayah Baru (termasuk New Kowloon) Hong Kong kepada United Kingdom bakal berakhir pada tahun 1997. Prinsip yang sama turut dicadangkan dalam rundingan dengan Portugal mengenai Makau.

Prinsipnya adalah menjelang penyatuan semula kelak, meskipun "sosialisme" diamalkan di tanah besar China, namun Hong Kong dan Makau yang sering dianggap sebagai jajahan masing-masing UK dan Portugal, boleh mengekalkan sistem sedia ada dalam keadaan autonomi yang tinggi selama sekurang-kurangnya lima puluh tahun selepas penyatuan semula. Apa yang bakal berlaku selepas tahun 2047 dan 2049 (50 tahun selepas pengembalian masing-masing Hong Kong dan Makau) tiada sama sekali dinyatakan dalam dokumen-dokumen berkenaan, namun ada yang percaya bahawa prinsip "Satu negara, dua sistem" akan dimansuhkan pada masa itu, maka Hong Kong dan Makau akan disepadukan dalam sistem "sosialis" Tanah Besar China, sama ada secara rela atau paksa.

Perkara 5 Undang-Undang Asas Hong Kong menyatakan bahawa:
Sistem dan dasar-dasar sosialis tidak akan diamalkan dalam HKSAR, sebaliknya sistem dan gaya hidup kapitalis sejak dahulu akan kekal selama 50 tahun."[1][2]

Penubuhan sistem pentadbiran bergelar kawasan pentadbiran khas (SAR), dibenarkan oleh Perkara 31 Perlembagaan Republik Rakyat China, yang menyatakan bahawa Negara boleh menubuhkan SAR apabila perlu, dan sistem-sistem yang akan diperkenalkan kepada wilayah terlibat akan ditentukan oleh undang-undang yang digubal oleh Kongres Rakyat Kebangsaan berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Kedua-dua SAR Hong Kong dan Makau masing-masing ditubuhkan pada 1 Julai 1997 dan 20 Disember 1999, sejurus selepas PRC mengambil alih kedaulatan terhadap kawasan-kawasan berkenaan.

Kerangka

Kedua-dua SAR Hong Kong dan Makau memikul tanggungjawab terhadap hal-ehwal dalaman masing-masing, termasuk tetapi tidak terhad kepada kehakiman dan mahkamah rayuan, imigresen dan kastam, kewangan awam, mata wang dan penyerahan balik. Hubungan diplomatik dan pertahanan negara dua SAR ini pula adalah tanggungjawab Kerajaan Rakyat Pusat di Beijing.

Hong Kong masih menggunakan common law Inggeris. Makau pula masih menggunakan sistem undang-undang sivil warisan Portugal.

Pelaksanaan

Di Hong Kong, sistem ini telah dilaksanakan melalui Undang-Undang Asas Hong Kong yang berfungsi sebagai "perlembagaan kecil" kawasan tersebut, sehaluan dengan Pengisytiharan Bersama China-British. Penyusunan yang serupa juga digunakan di Makau. Mengikut undang-undang asas masing-masinjg, kedua-dua SAR memegang tahap autonomi yang tinggi dan menikmati kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman yang bebas, termasuk penghukuan terakhir. Kedua-dua SAR ini merumuskan dasar kewangan sendiri, menggunakan mata wang sendiri, merumuskan dasar-dasar pendidikan, kebudayaan, sukan, kebajikan sosial dan sebagainya secara tersendiri mengikut kerangka undang-undang asas.

Seperti yang ditentukan undang-undang asas, walaupun Kerajaan Rakyat Pusat PRC bertanggungjawab terhadap hal-ehwal luar negeri dan pertahanan berkenaan SAR, namun wakil-wakil Kerajaan SAR boleh turut serta selaku ahli-ahli perwakilan PRC, dalam rundingan diplomatik yang mempengaruhi Kawasan-Kawasan terbabit secara langsung, dan juga di pertubuhan atau persidangan antarabangsa lain yang terhad kepada negeri dan melibatkan kawasan-kawasan tersebut. Bagi pertubuhan dan persidangan antarabangsa yang tidak terhad kepada negeri, SAR tersebut boleh turut serta dengan nama berbentuk "Hong Kong, China". Selaku entiti ekonomi berasingan, kedua-dua SAR Hong Kong dan Makau adalah anggota-anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia. Hong Kong juga adalah sebuah ekonomi anggota APEC.

Undang-undang asas juga menyediakan perlindungan perlembagaan dari segi hak asasi manusia dan kebebasan asas. Terutama sekali, Waad Hak-Hak Awam dan Politik Antarabangsa diberi taraf berperlembagaan melalui undang-undang asas.

Sesetengah pemerhati dan pertubuhan hak asas manusia antarabangsa telah meluahkan keraguan mengenai masa hadapan kebebasan politik yang dinikmati di Hong Kong, dan juga janji PRC untuk membenarkan begitu banyak autonomi di Hong Kong. Misalnya, mereka berpendapat bahawa cadangan-cadangan dalam Perkara 23 Undang-Undang Asas pada tahun 2003 (yang ditarik balik akibat tentangan meluas) mungkin sedikit sebanyak menjejaskan autonomi.

Sungguhpun beigtu, kedua-dua kerajaan PRC dan Hong Kong menganggap prinsip terbabit dilaksanakan dengan jayanya, dengan memetik laporan rasmi dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.